Friday, October 16, 2009

KEUPAYAAN DAN KEKUATAN MANUSIA

Definisi kepada keupayaan menurut kamus dewan ialah usaha untuk mencapai sesuatu tujuan, daya usaha, akal, ikhtiar. Kekuatan menurut kamus dewan ialah bertenaga, tidak lemah. Manusia di dalam Al-Quran disebut sebagai al-insan, al-Ins dan al-Basyar.
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang dicipta sebaik- baik ciptaan daripada dua unsur material dan spiritual. Manusia juga digambarkan sebagai haiwan yang berfikir, bernaluri, berjiwa dan dikenali sebagai haiwan yang mempunyai kehendak.
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu Dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun.” (An-Nahl: 78)
Sesungguhnya manusia mempunyai tenaga dan kuasa yang berbagai-bagai. Oleh kerana manusia mempunyai jasmani, jadi jasmani itu mempunyai tenaga untuk tumbuh dan hidup. Pancaindera manusia yang lima mempunyai peranan masing-masing. Disebalik manusia itu pula mempunyai fikiran, perasaan dan keyakinan yang juga merupakan gabungan tenaga yang dimiliki oleh manusia.
Fikiran, perasaan dan keyakinan mestilah bersatu, barulah wujud keseimbangan diantaranya. Terdapat juga tenaga luar biasa yang diberikan oleh Allah kepada nabi-nabi dan wali-wali Allah. Ada juga tenaga yang diperoleh manusia yang bukan dengan tenaganya sendiri iaitu di mana manusia itu dengan penuh tawakkal dan penuh keyakinan menyerahkan diri kepada Allah.
Menginsafi akan tenaga yang diberikan oleh Allah maka manusia mesti mengusahakannya sehingga tercapai tujuan hidup ini. Batas kekuatan tenaga manusia hanyalah satu iaitu manusia tidak tidak mungkin mengadakan yang tidak ada dengan kuasa dan tenaga mereka dan ia adalah kekuasaan Allah semata-mata. Tenaga juga bukannya mengenai yang zahir sahaja tetapi mengenai yang batin.
Sesungguhnya manusia mempunyai tenaga yang hebat namun perasaan sombong dan takabbur mesti dijauhkan dalam diri manusia. Dan manusia harus sedar disebalik tenaga yang hebat itu asalnya daripada siapa. Manusia mempunyai tenaga yang hebat, tetapi siapa yang menjadikan manusia itu ada? Manusia mempunyai tenaga yang hebat, tetapi dapatkah manusia itu mempertahankan diri, jika saatnya datang maut memanggil? Dapatkah manusia itu menahan atau melambatkan waktu yang terus berjalan? Banyak lagi contoh-contoh lain, namun adakah ini dapat dikatakan ia sebenar-benarnya hebat? Begitu juga kekuatan penglihatan dan pendengaran manusia terbatas. Dengan demikian manusia harus berhati-hati dan mensyukurinya dan menggunakan nikmat tersebut untuk mendekatkan diri kepada Allah.
FIKIRAN,RASA, KEYAKINAN
Di dalam diri manusia terdapat 3 kekuatan utama yang mendorong manusia mencapai kebahagiaan dirinya. Tiga kekuatan itu ialah:
1. Fikiran
2. Rasa
3. Keyakinan
Ketiga-tiga kekuatan ini saling memerlukan dan tidak boleh memulakan perjalanannya dengan kekuatannya sendiri. Namun, fikiran, rasa dan keyakinan dapat digerakkan oleh kemahuan. Ini tidak dapat disangkal bahawa kemahuan itu ada dalam diri manusia. Tetapi apakah yang menggerakkan kemahuan itu? Apakah sebabnya kemahuan itu menggerakkan fikiran, rasa atau keyakinan dalam sesuatu hal yang tertentu? Dalam hal ini ternyata adanya suatu kuasa yang menguasai kemahuan yang ada dalam diri manusia itu.
Waktu Lahir
Dengan ada pada waktu lahirnya manusia itu telah memiliki dengan lengkap seluruh alat-alat dan kekuatan yang perlu baginya untuk menjalankan hidupnya. Alat-alat ini juga berada dalam kedaan yang baru lahir iaitu keadaan permulaan, dan ia belum lagi berada dalam keadaan yang dewasa dan ia akan tumbuh menuju kedewasaannya.
Dalam usaha ia menuju kepada pertumbuhan kedewasaannya maka harus ditujukan kepada kesempurnaan hendaknya. Dalam usaha menyempurnakan manusia itu ia dapat diusahakan dengan beberapa jalan, iaitu ilmu pengetahuan, falsafah dan tasawuf dan dll.
Menuju Dewasa
Dalam pertumbuhan menuju kedewasaan itu, iaitu fikiran, rasa dan keyakinan, maka fikiranlah yang paling terakhir alami pertumbuhannya. Sebelum fikiran itu menginsafi sesuatunya, maka manusia telah mempunyai rasa dan keyakinan terhadap sesuatu.
Anak-Anak dan Keyakinan
Anak-anak melakukan sesuatu menurut rasa atau keyakinannya walaupun sering terjadi sesuatu yang tidak terjadi menurut rasa dan keyakinannya. Maka jelaslah disini rasa dan keyakinanlah yang terlebih dahulu bermula dan barulah diteruskan dengan perkembangan fikiran.
Perkembangan Fikiran
Perkembangan fikiran menyusul kemudian, namun ia menduduki tempat yang utama di antara kekuatan manusia iaitu rasa dan keyakinan. Ini dapat difahami, sesuatu yag difikirkan hendaklah masuk akal,namun ia tidak boleh bergantung kepada fikiran semata-mata dalam membuat penilaian terhadap sesuatu tetapi mestilah saling bantu-membantu di antara ketiga-tiga kekuatan tersebut.
Kedudukan fikiran
Tenaga fikiran pergerakannya adalah terbatas. Tenaga fikiran manusia tidak boleh menghuraikan perkara-perkara yang ghaib. Pertanyaan fikiran manusia tidak ada batasnya. Kerana fikiran itu sendiri mencipta masalah walaupun sudah dipecahkan sesuatu masalah oleh fikiran tapi fikiran mengemukakakn masalah baru. Oleh itu manusia hendaklah mendasarkan pendiriannya atas keyakinan. Dan dengan adanya keyakinan tidak ada lagi tempat untuk bertanya kerana sesuatu persoalan itu telah jelas dan tepat.
Kedudukan yang sewajarnya.
kedudukan fikiran yang sewajarnya harus ditentukan. Tiap-tiap kekuatan tersebut mestilah digunakan dan ia mempunyai lapangan kerja masing-masing dan dalam lapangan mana tenaga itu lebih arif. Namun, walaupun ketiga-tiga kekuatan tersebut mempunyai lapangan kerja masing-masing tetapi masing-masing perlu saling membantu diantara ketiga-tiga kekuatan tersebut barulah dapat mencapai satu kesatuan dan satu keseluruhan.
Harmoni Dalam Pertumbuhan
Berdasarkan pertumbuhan fikiran yang berlaku terkemudian dari pertumbuhan rasa dan keyakinan, hendaklah menghasilkan kedudukan fikiran yang bukan merupakan kedudukan yang terutama dalam diri manusia, tetapi kedudukan fikiran adalah sejajar dan setaraf dengan kedudukan rasa dan keyakinan.Tenaga fikiran harus membantu dan memperkukuh tenaga rasa dan keyakinan barulah wujudnya harmoni dalam diri manusia itu.
Keupayaan fikiran
Jikalau fikiran itu diutamakan kedudukannya, maka banyak terdapat hal-hal yang menghairankan dan hal-hal kebetulan. Hal-hal yang menghairankan bagi fikiran belum tentu menghairankan bagi rasa dan keyakinan.

Positif
Bagi keyakinan sesuatu adalah positif . Dalam keyakinan tidak ada sesuatu yang menghairankan dan kebetulan.
Mencari
Manusia itu sesungguhnya bukanlah mencari tetapi dia berusaha menemukan yang diyakininya iaitu yang ghaib. Adanya yang ghaib itu adalah nyata bagi keyakinan, jadi yang ghaib itu tidak guan dicari. Kerana yang dicari itu ialah jalan untuk menemukannya
Yakin
Manusia itu tidak mencari, tetapi manusia itu yakin dengan adanya yang ghaib itu. Sekiranya manusia itu pencari namun manusia itu sendiri tidak mengetahui dengan fikirannya, maka apakah sebenarnya yang dicari itu kerana yang ghaib itu tidak mungkin diketahui dan ditentukan oleh akal. Malahan sesuatu yang diperolehi tidak dapat ditentukan oleh manusia itu dengan fikirannya. Kerana penentu yang ghaib itu tidak ada pada manusia.
Kemahuan
Manusia itu mempunyai kemahuan dan ia mempunyai peranan yang berbeza dengan fikiran, rasa dan keyakinan. Fikiran, rasa dan keyakinan tidak boleh memulai sesuatu dengan bergerak sendiri kerana ia mesti digerakkan dengan kemahuan. Setelah ia digerakkan dengan kemahuan maka fikiran, rasa dan keyakinan berjalan dan mengambil keputusan atas dasar tenaga sendiri. Selepas itu kemahuan yang menggerakkan fikiran, rasa dan keyakinan dan ia saling membantu antara satu sama lain. Dan jelaslah kemahuan sebagai salah satu tenaga yang dimilki oleh manusia itu. Kemahuan berperanan untuk mewujudkan harmoni antara fikiran, rasa dan keyakinan.
Nafsu
Manusia yang hidup mempunyai nafsu, jika manusia tidak mempunyai nafsu maka ia dikatakan tidak normal. Nafsu berdiri sendiri di samping kemahuan dan menghendaki kepuasan sendiri pula. Nafsu dengan sendirinya tidak akan sanggup mencari kepuasan tanpa mempengaruhi kemahuan dan salah satu dari 3 kekuatan yang ada dalam manusia. Alat ini yang dipakai oleh nafsu untuk mencapai wujudnya.
Nafsu yang normal yang ada pada diri manusia harus tunduk kepada kemahuan. Jikalau pengaruh nafsu itu lebih besar dari kemahuan maka mudah sekali kemahuan diperalat oleh nafsu untuk menggerakkan salah satu dari 3 tenaga manusia sebagaimana yang dikehendakinya. Nafsu tidak mempunyai moral, namun tetapi manusia lebih tinggi darjatnya dari binatang kerana manusia mempunyai 3 kekuatan tersebut. Tetapi jika fikiran, rasa , keyakinan dan kemahuan dikalahkan oleh nafsu maka ia akan turun menjadi darjat binatang.
Nafsu itu perlu bagi manusia dan ia baik bagi manusia selama mana manusia dapat mengendalikan nafsu itu dengan baik. Jelaslah sesuatu yang buruk atau jahat adalah kerana diri manusia yang dipengaruhi nafsu dan jika nafsu itu telah berkuasa keatas diri manusia maka nafsu itu mempunyai daya penggerak sendiri yang dapat mempergunakan 3 kekuatan tersebut yang ia suka.
Buruk dan baik
Kemahuan dengan fikiran, rasa dan keyakinan adalah menyanggupkan manusia itu memisahkan yang baik dan yang buruk dan kesanggupan inilah yang membezakan manusia dengan haiwan. Maka nafsu itu perlu bagi manusia, soalnya hanya terletak pada menggunakannya sebaik-baiknya.
Nafsu bertujuan kepada keperluan jasmaniah dan keduniaan dari manusia itu dan ia adalah perlu selama hidupnya berada di atas dunia dan ia harus mempergunakan dunia itu untuk hidup. Di sebalik itu, manusia itu harus mempergunakan dunia dan hidup itu untuk mati dan menuju akhirat. Oleh sebab itulah hanya manusia sahaja yang memiliki fikiran, rasa dan keyakianan. Dengan adanya nafsu itu manusia dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Dengan nafsu juka manusia itu dapat memilih dan dapat menentukan rendah tinggi tingkatan kedudukannya oleh diri sendiri.

Menggerakkan Kemahuan
Fikiran, rasa dan keyakinan itu pada permulaannya digerakkan oleh kemahuan tetapi sesudah peristiwa menggerakkan permulaan ini terjadi, maka fikiran, rasa dan keyakinan itu akan berjalan sendiri. Kemahuan itu tidak sanggup memikirkan sesuatu. Fikiran, sebelum ia digerakkan oleh kamahuan belum lagi berjalan. Begitu juga dengan rasa dan keyakinan , dan sebagai kemahuan tidak dapat merasakan dan menyakini sendiri sesuatunya.
Sebelum fikiran berjalan, fikiran belum lagi tahu apa yang akan menjadi objek yang akan difikirkannya itu. Objek itu diakui adanya ilham, wahyu dan sebagainya dan yang mendatangkan wahyu adalah Allah yang dinamakan Al-Wahhab . Itulah sebabnya manusia perlu bersyukur dan memohon rahmat Allah agar membangkitkan kemahuan terhadap sesuatu yang diredhai Allah dengan menggerakkan fikiran,rasa atau keyakinan.
Kemahuan Ialah Usaha
Kemahuan manusia yang menggerakkan fikiran, rasa dan keyakinan itu adalah usaha manusia juga. Berhasilnya usaha itu, tidaklah sanggup manusia itu menentukan terlebih dahulu dan menjaminnya akan berhasil. Dari kenyataan ini tidak dapat disangkal adanya kuasa di luar pengetahuan manusia dan yang berkuasa penuha atas manusia. Untuk mengharapkan dan menyambut kuasa ini, maka manusia harus membersihkan diri dan jiwanya.
Pancaindera
Dalam diri manusia terdapat juga pancaindera yang biasa yang juga merupakan alat dalam diri manusia itu. Pancaindera ini dibawah kekuasaan kemahuan dan nafsu, sebagaimana fikiran, rasa dan keyakinan dan ia tidak mempunyai kuasa sendiri untuk memulai pergerakan sendiri. Pancaindera ini adalah berhubung dengan alam yang nyata dan dengan pancaindera ini ia dapat mengenal alam ini.
Apa yang dikenal oleh pancaindera dari ala yang nyata ia dapat dihitungkan oleh fikiran , difahami oleh oleh rasa dan diyakini oleh hatinya. Dari pengalaman pancaindera itu, maka tercipta idea dan dapat merasakan serta dapat menyakini yang ghaib.

Jelaslah bahawa seluruh diri manusia itu, jasmani dan rohani perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menentukan dan mencapai wujud dan adanya penghidupan ini.Dengan demikian , tidak ada sesuatu pundalam diri manusia dan alam ini yang tidak berguan. Ia adalah rahmat Allah dan seluruh alam itu adalah disediakan untuk membuktikan rahmat dari Al-Wahhab.

No comments:

Post a Comment